SEMBANG KETUM AYAM EPISOD 1

04 Oct 2021
SEMBANG KETUM AYAM EPISOD 1
Melihat Saiz Penuh
LIVE SEMBANG KETUM AYAM :
KENAIKAN HARGA DEDAK DAN HASIL JUALAN BERKURANG

 
Sektor industri penternakan berdepan dengan kesulitan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mungkin akan menjejaskan pemasaran ayam kampung, kata seorang penternak.

Mohd Anas Bin Mohd Asmawi, Pengurus Penternakan Sumber Unggas berkata, kenaikan harga dedak meningkat kepada 20% dalam masa 6 bulan. Tambahan beliau, harga barang seperti minyak, besi, aluminium melonjak naik, tak terkecuali juga dedak ternakan. 75% daripada dedak tersebut terdiri daripada jagung dan soya meningkat kerana kebanyakannya diimport dari negara luar seperti Brazil, Amerika Syarikat & Argentina.

Sebagai contoh, Dedak Gold Coin antara dedak yang menjadi pilihan ramai penternak juga telah naik akibat daripada pandemik korona virus. Yang dahulunya dijual RM108.00 (50kg) dan harga sekarang telah mencecah RM133.00 iaitu kenaikan sebanyak 24%.

Ramai penternak terpaksa memilih dedak yang lebih murah akibat kenaikan harga yang melampau.

 Disamping itu, mereka juga telah menggunakan kaedah ''bokashi'' dimana ia merupakan sumber makanan ternakan yang menggunakan fermentasi bahan organik seperti sisa makanan, sisa ikan, sisa sayur, sisa buah, rumput, herba dan bahan mentah yang lain seperti dedak padi, jagung, kulit gandum, serbuk ikan, hampas soya. Ringkasnya, kaedah ''bokashi'' ini mampu untuk mengurangkan kos operasi dan menggantikan dedak komersial.

Selain itu, penternak ayam kampung juga tidak mampu untuk menanggung kos berlebihan anak ayam. Hal ini terjadi kerana ada diantara pelanggan mereka yang membatalkan pembelian akibat pergerakan yang terhad dan kuarantin. Rentetan daripada itu, lambakan anak ayam yang tidak terjual menjadi bebanan kepada mereka dan ada yang terpaksa mengurangkan kapasiti ayam yang menetas.

Pada dasarnya, aktiviti ternakan masih boleh dijalankan tetapi pemasaran terpaksa diberhentikan seketika atau diperlahankan disebabkan oleh PKP dan keadaan pandemik yang tidak menentu (turun naik kes positif). Secara tidak langsung, pembekalan stok di kilang-kilang seperti peralatan, dedak makan dan ubat-ubatan juga menjadi terhad.

''Kita harap ramai orang akan mengambil vaksin yang diberikan supaya kita dapat memutuskan rantaian virus covid-19 ini untuk memulihkan kembali ekonomi negara'', kata beliau lagi. - Penternakan Sumber Unggas

Tukar ke versi mobile
Langgan Risalah