SEMBANG KETUM AYAM EPISOD 2

04 Oct 2021
SEMBANG KETUM AYAM EPISOD 2
Melihat Saiz Penuh
KAEDAH MENGAWAL PENYAKIT TERNAKAN AYAM KAMPUNG
 
Live Sembang Ketum Ayam (SKA) episod 2 kali ini telah menjemput 2 orang panel untuk berkongsi pengalaman dan berkongsi kaedah untuk mengawal penyakit ternakan ayam kampung.

Farid Baharom, Pengusaha Rezeki Thoyyiba Enteprise di mana beliau sedang mengusahakan penetasan ayam kampung dan Yazid Sulaiman, Pengusaha Ayam Kampung Quala yang mengusahakan Ladang Pembaka Ayam Kampung Saga berkapasiti hampir dua puluh ribu ekor induk di Kuala Selangor.

Antara penyakit yang dikongsikan adalah Coryza (Ayam Mata Bengkak/Sakit Mata). Sedikit fakta mengenai penyakit ini adalah seperti bengkak disekeliling muka, hilang selera makan, penurunan berat badan dan pengeluaran telur berkurang .

Menurut Yazid Sulaiman, persekitaran, keluasan, dan penyakit perlu dikawal bagi mengurangkan kerugian.  Selain itu, dengan menggunakan vitamin & probiotik sekali gus dapat mengawal sedikit sebanyak penyakit itu.

Tambahnya, dengan menggunakan effective microorganisme (EM) dilantai reban dan disinfectant disembur secara menyeluruh setiap 2 minggu turut membantu. Bukan sahaja itu, kasut yang digunakan didalam reban juga tidak boleh dibawa ke merata tempat. Ini kerana, bakteria kecil yang berada di luar juga akan menyebabkan penyakit lain menjangkiti ternakan, katanya.

Bagi Farid Baharom pula, dengan memberikan daun ketum ayam kepada ternakan mampu meningkatkan imuniti badan.

“Kelakuan ayam pada waktu tengah hari seperti mencari sesuatu untuk mematuk, jadi apabila diberikan sesuatu yang basah, kelakuan ternakan akan menjadi sedikit stabil”.

Tambah beliau, “Di samping itu,  kita juga perlu memberikan kalsium yang cukup kepada ternakan untuk mengelakkan penyakit Marek ataupun lumpuh. Sehubungan dengan itu, penternak perlu menjaga pengurusan SOP ladang dengan lebih teliti. Merekodkan punca daripada mana datangnya penyakit”.

Penyakit lain seperti Chronic Respiratory Disease (CRD) atau penyakit ayam batuk telah mengambil tempat pada live kali ini. Penyakit ini berhubung kait dengan pernafasan.

Dari data yang dikumpulkan oleh Team Technical Education & Consultation Medion pada 2016, CRD menduduki tempat pertama dan kedua dalam ranking penyakit yang menyerang ayam pedaging dan ayam petelur.

Farid Baharom berkata, ternakan yang menghidapi CRD ini seperti hidup segan, mati takmau. Hanya sekadar hidup, susah untuk membesar. Penyakit ini sangat cepat merebak, katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau juga menggalakkan untuk menggunakan antiobiotik.

Mohd Anas Bin Mohd Asmawi, Pengurus Penternakan Sumber Unggas berkata, antara penyakit lain ialah Penyakit Sampar (Newcastle Disease). Yang menakutkan penternak ialah wabak ini mampu meragut hampir 95 peratus ternakan didalam reban. Dalam masa 5-7 hari ianya boleh memusnahkan reban anda.

Lanjutan daripada itu, Yazid Sulaiman menjawab perihal penyakit tersebut. Ayam perlu divaksinasi pada peringkal awal. Vaksin seperti ND1B-B1 dapat mencegah penyakit tersebut bermaharajalela di reban atau ladang ternakan.

Antara vaksin lain yang perlu diambil adalah Lasota dan Gumboro, tegasnya. – Penternakan Sumber Unggas

Tukar ke versi mobile
Langgan Risalah