SEMBANG KETUM AYAM EPISOD 5

04 Oct 2021
SEMBANG KETUM AYAM EPISOD 5
Melihat Saiz Penuh
PEMASARAN AYAM KAMPUNG
MACAM MANA NAK JUAL ?

 
Live Sembang Ketum Ayam (SKA) episod 5 kali ini membincangkan isu yang akan membuat para penternak menyusun strategi mereka untuk menambahbaik hasil jualan.

Oleh itu, SKA telah menjemput dua orang ahli panel yang mahir tentang pemasaran. Ahli panel pertama kami bawakan ialah Encik Firdaus Nazarudin, Pengusaha Ayam Kampung Dusoon. Pada mulanya beliau hanya menternak secara suka-suka. Bantuan dari pelbagai pihak dijadikan batu loncatan untuk beliau menggiatkan diri dengan lebih serius.

Ahli panel kedua ialah Encik Halim Idris, Consultant di sebuah syarikat “Oil and Gas”. Pada 2010, beliau mula menternak Ayam Kampung Kacuk (AKK) dengan kuantiti 200 ekor. Beliau menjadikan penternakan ini sebagai hobi yang menguntungkan.

En Firdaus berkata, menjual lebih senang jika dibandingkan dengan menternak. Walaupun begitu, menternak lebih menyeronokkan. Jikalau diberi pilihan, beliau lebih meminati untuk berada di reban. Tambahnya lagi, penternak perlulah meletakkan ilmu dicarta tertinggi.
En Halim berkata, Ayam Kampung Asli (AKA) lebih mudah dijual berbanding AKK kerana permintaannya yang lebih tinggi walaupun di kampung-kampung. Malahan, ada peraih yang sanggup datang ke rumah dan membeli dengan harga minimum RM16 sekilogram.
Namun begitu, beliau lebih menggemari  AKK kerana dalam tempoh masa yang singkat iaitu 100 hari (3 bulan 10 hari) sudah boleh dijual berdasarkan permintaan pelanggan. Oleh kerana tempoh jualan yang singkat, AKK hanya memerlukan keluasan reban yang tidak terlalu besar, tambahnya lagi.

En Firdaus menyatakan bahawa menjual secara runcit lebih berbaloi tetapi kerana kepadatan masa dan jadual, beliau terpaksa menjual secara borong. Dan sekarang ini, pengeluaran ayam di kilang mencapai 800-1000 ekor sehari.

“Alhamdulillah, setakat ini ada tiga puluh tujuh orang ejen dibawah kami, cumanya pemasaran kami belum ada di Kelantan, Terengganu dan Perlis. Walau bagaimanapun, kami akan mencari lebih lagi ejen dalam masa akan datang”, katanya.

En Halim berkata, harga pasaran di setiap kawasan berbeza-beza, harga bergantung kepada permintaan tetapi bagi beliau, harga bergantung pada kos. Harga dinaikkan kepada dua puluh lima peratus selepas membuat kiraan secara kasar termasuk upah dan margin keuntungan.

Akhir sekali, tips yang diberikan oleh En Firdaus adalah penternak perlu tolak tepi perasan malu, memikirkan harga pesaing yang lain dan penternak perlulah menimba ilmu atau mengikuti khursus berkaitan ternakan, katanya. – Penternakan Sumber Unggas

 

Tukar ke versi mobile
Langgan Risalah